JANGANLAH malas, bangun dan bersenam! Perkara pertama yang terlintas di fikiran anda bila menyentuh tentang tulang pastinya kalsium. Tetapi untuk mencapai tulang yang sihat anda tidak boleh sekadar mengambil nutrien yang cukup. Melakukan senaman yang betul juga penting untuk menguatkan tulang!
Sebenarnya, selain kuat, tulang juga fleksibel. Inilah sebabnya ahli gimnastik boleh melentur badan hingga ke bentuk yang tampak mustahil tanpa mematahkan tulang mereka! Tulang adalah tisu hidup, jadi ia terus bertindak kepada tekanan dari aktiviti yang dikenakan ke atasnya.
Tulang kita terdiri daripada kombinasi kolagen dan kristal mineral yang terbina daripada kalsium dan fosfat. Matriks kolagen inilah yang membenarkan tulang berkembang dan mengecut tanpa patah. Dalam kata lain, tulang anda akan bertindak balas dan menjadi lebih kuat untuk menahan tekanan yang dikenakan ke atasnya. Jika anda tidak aktif secara fizikal, tulang anda menjadi lebih lemah dan rapuh, mendedahkannya kepada risiko patah.
Impak tinggi
Apa juga senaman yang memerlukan anda mengangkat berat dan melawan graviti dapat membantu mempertingkat dan mengekalkan jisim tulang. Tekanan dari mengangkat berat serta aktiviti tolak-tarik otot akan menggalakkan pembentukan tulang, menjadikannya lebih kuat.
Senaman berimpak tinggi dan menahan berat adalah paling efektif dalam membina tulang yang kuat. Senaman bertujuan membina tulang anda, bukan mematahkannya. Aktiviti seperti berlari, melompat, mendaki, menari dan bermain permainan seperti tenis dan badminton menghasilkan impak yang sama seperti senaman menahan berat.
Senaman menahan berat impak rendah seperti berjalan dan aerobik impak rendah pula lebih sesuai bagi yang mereka yang mahu membina tulang kuat tetapi tidak boleh melakukan senaman impak tinggi. Anda juga boleh melakukan latihan ketahanan dan senaman yang menguatkan seperti angkat berat atau tekan tubi. Namun, anda perlu berjaga-jaga dan dapatkan nasihat doktor atau jurulatih peribadi terlebih dahulu untuk mengelakkan kecederaan.
Bagi yang berusia, penderitaan dari keretakan tulang akibat terjatuh boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menjalani hidup normal. Sehingga 20 peratus mangsa yang mengalami keretakan pinggul meninggal dunia selepas satu tahun manakala dua pertiga yang terselamat pula menjadi individu kurang upaya. Di samping memastikan rumah dan persekitaran anda selamat dari risiko terjatuh, anda juga perlu mengambil inisiatif untuk memperbaiki keseimbangan dan postur badan melalui senaman. Melakukan tai chi memberikan anda lebih keseimbangan, postur dan koordinasi yang dapat membantu anda mengelak daripada terjatuh.
Senaman untuk tulang sihat boleh disesuaikan mengikut peringkat umur dan keperluan. Senaman boleh membantu membina tulang sihat ketika zaman kanak-kanak dan mengekalkannya ketika dewasa. Orang yang berumur dan kerap bersenam juga boleh menguatkan tulang dan mengurangkan risiko patah. Jadi, tidak kira berapa umur anda, atau apa juga keadaan fizikal anda, anda boleh mencari jenis senaman yang sesuai untuk diri sendiri.
Walaubagaimanapun, adalah berbahaya untuk melakukan senaman tanpa mengetahui had anda. Senaman yang berlebihan boleh menyebabkan keretakan akibat stres dan kerosakan sendi. Ada juga senaman yang boleh menyebabkan jatuh dan meningkatkan risiko keretakan tulang. Penghidap osteoporosis dan warga emas boleh meningkatkan risiko kepatahan tulang jika memulakan senaman berat tanpa mendapatkan nasihat doktor atau pakar perubatan.
Penyesuaian
Setiap senaman perlu disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan. Senaman selama 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu adalah digalakkan jika anda mempunyai jisim tulang rendah, menghidap osteoporosis atau berusia lebih 50 tahun.
Berhati-hatilah dengan halangan lazim untuk bersenam seperti malas atau kesuntukan masa. Senaman boleh diterapkan dalam kehidupan untuk menepati keperluan dan gaya hidup anda supaya ia tidak menjadi sesuatu yang membosankan. Jadilah kreatif dan pastikan anda gembira melakukannya. Dengan ini, anda akan dapat meneruskan senaman dengan rela dan bukan separuh hati.
Membina tulang sihat adalah komitmen sepanjang hayat dan aktiviti fizikal boleh membantu anda mencapainya. Sama ada anda di rumah, pejabat atau sekolah, anda boleh memasukkan senaman untuk disesuaikan dengan gaya hidup anda. Apa yang penting, anda bergerak dan menikmati manfaatnya sepanjang hidup anda.