30 Mei, 2009

PROFESION GURU KE TAHAP LEBIH TINGGI

Memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang pembina negara bangsa yang diletakkan di atas bahu seorang pendidik hakikatnya telah bermula sejak sebelum merdeka, berlangsung sehingga ke hari ini malah tanggungjawab ini tidak pernah sedikitpun kurang.

Namun seperti lazimnya, situasinya kini berbeza, pelajar yang semakin ramai dengan sikap dan minda yang berlainan dan bermacam-macam apatah lagi dengan keterbukaan dan kelantangan masyarakat memperkatakan tentang senario pendidikan negara pada masa ini maka peranan guru yang juga pendidik sebagai pembina negara bangsa semakin luas, menekan dan mencabar.

Kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, guru alaf baru kini tugasnya bukan sahaja mendidik dari segi akademik tetapi membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral dapat hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik.

Inilah juga yang dimaktubkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2020 iaitu Membina Negara Bangsa dan ia sejajar dengan Wawasan 2020 yang kini hanya tinggal 10 tahun untuk direalisasikan menjadi Malaysia negara maju dalam acuannya sendiri.

``Walaupun negara bangsa telah wujud sejak kita mencapai kemerdekaan tetapi ia mestilah ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana wujudnya persaingan globalisasi itu yang secara sendirinya menuntut setiap negara perlu mengukuhkan negara masing-masing dari segi ekonomi mahupun pertahanan maka dari segi pendidikan, guru wajib memberi pendidikan terbaik untuk kanak-kanak,’’ ujarnya.

Membicarakan guru era merdeka dan sebelum merdeka, kata beliau, sama sahaja peranan guru-guru itu sangat penting untuk pembangunan negara sejak sebelum mencapai kemerdekaan negara ini kerana peranan guru sangat besar dalam memberikan ilmu pengetahuan kepada orang ramai dan mereka juga adalah pejuang-pejuang yang menuntut kemerdekaan negara.

``Selepas negara mencapai kemerdekaan sekali lagi kita melihat yang bidang pendidikan suatu bidang yang amat penting kerana kerajaan telah memberi peruntukan yang besar berbanding kementerian-kementerian lain setiap tahun,’’ katanya.

Ini turut menjelaskan betapa kerajaan amat percaya bahawa dengan pelaburan yang besar itu ia boleh membawa pulangan yang besar kepada rakyatnya terutama negara.

Malaysia sendiri adalah negara yang termaju dalam negara-negara membangun dan walaupun kepimpinan negara dan hasil bumi antara penyumbang pembangunan ini tetapi sumbangan bidang pendidikan, peranan mereka yang mendidik, bukanlah kecil.

Kata beliau, persaingan guru sekarang menambah ilmu dalam dunia ledakan maklumat bukan sahaja sesama mereka malah perlu bersaing dengan para pelajar yang jelas lebih terkehadapan menerokai teknologi komunikasi maklumat (ICT) lebih global dan lebih canggih berinteraksi.

``Kecanggihan mereka itu menyebabkan guru kini perlu berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat, media massa dan pengaruh budaya-budaya liar dari luar jadi satu cara untuk memastikan penduduk di negara tidak terpengaruh dengan budaya negatif maka amat penting sekolah-sekolah memastikan berlakunya pembangunan modal insan yang cemerlang,’’ tegas beliau.

Membina negara bangsa yakni modal insan yang cemerlang maka seharusnya guru berperanan memberi ilmu kepada para pelajar dalam jumlah yang bukan sedikit tetapi banyak dan pelbagai dari segi komunikasi, kreativiti dan inovasi dan kini kemahiran berbahasa, bukan lagi penguasaan satu bahasa perlu sekurang-kurangnya tiga bahasa.

Modal insan yang cemerlang juga adalah individu yang mahir dalam ICT, mahir membuat keputusan, berakhlak dan bermoral, berani, amanah, jujur, bekerjasama dan bertanggungjawab, suatu acuan individu yang mempunyai daya tahan dalam erti kehidupan globalisasi.

``Beratkah tanggungjawab guru sekarang...sudah pasti amat berat jika dibandingkan dalam tempoh 20 tahun atau 30 tahun yang lalu tetapi ini adalah merupakan peluang untuk guru untuk menunjukkan keupayaan dan kebolehan menghadapi cabaran ini bersesuaian dengan pembangunan dan zaman yang mereka tempuhi sekarang,’’ katanya.

Menurut Alimuddin, dedikasi, sabar dan tabah serta bertanggungjawab semasa menjalankan tugas adalah kunci utama untuk menangani kerenah masyarakat apatah pelajar dan jika sikap ini ada dalam diri 100 guru di sebuah sekolah, semuanya memberikan terbaik, tidak mengira masa, berusaha berjumpa dengan semua pelajar, membantu pihak sekolah untuk menangani isu-isu maka banyak masalah akan selesai.

Dan sudah pasti peranan ibu bapa moden sekarang dalam dunia pendidikan bertambah memandangkan anak-anak mereka hanya berada di sekolah kira-kira enam jam maka perhatian ibu bapa kepada anak masing-masing perlu ditingkatkan.

Namun kata beliau, sikap masyarakat moden kini yang tidak suka `menjaga tepi kain orang lain’ perlu dikembalikan dengan dasar tegur menegur terhadap sikap pelajar yang melanggar norma-norma kehidupan bermasyarakat.

``Menegur sahaja dan saling ingat mengingatkan bukannya kita terus mengambil tindakan dan saya fikir banyak isu disiplin pelajar di luar sekolah dapat diselesaikan dengan sikap ini,’’ katanya.

Walau bagaimana berat sekalipun tanggungjawab yang dipikul oleh guru namun Kementerian Pelajaran tidak pernah alpa terhadap kebajikan guru terutama dari segi kerjaya.

Pada masa ini, terdapat 17 laluan kerjaya kepada guru seperti guru cemerlang, Pengetua cemerlang, Guru Besar cemerlang, Pegawai Pendidikan cemerlang malah pada tahun lalu sahaja sebanyak 62,000 jawatan naik pangkat dan naik gred telah diberi kepada guru-guru.

Dari segi kewangan pula, banyak elaun telah diberi kepada guru seperti elaun Guru Besar dan Pengetua, elaun warden, elaun mata pelajaran kritikal dan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI ) serta elaun guru kawasan pedalaman yang mencecah kepada RM1,500 sebulan.

``Ini bukti keprihatinan kerajaan terhadap guru malah apa juga imbuhan yang diberi kepada kakitangan kerajaan lain, guru juga menikmatinya misalnya pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan mahupun rawatan di hospital,’’ katanya.

Malah tegas Alimuddin, profesion keguruan hari ini sudah sampai ke tahap yang tinggi jika dilihat daripada permohonan untuk menjadi guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pada tahun ini yang mencecah lebih 90,000 permohonan sedang kekosongan untuk diisi tidak kurang 5,000 tempat.

Beliau turut menolak tanggapan masyarakat bahawa senario itu seperti sebelum ini yang diamalkan oleh graduan negara yang menjadikan profesion keguruan sebagai pilihan akhir.

``Tidak lagi kerana permohonan banyak bermakna kita banyak pilihan kerana yang memohon juga daripada pelbagai bidang malah kita mempunyai pelbagai syarat ketat sebelum mereka menerima mereka termasuk temuduga agar mereka yang dipilih adalah benar-benar yang mencintai bidang pendidikan dan profesion keguruan,’’ tegas beliau.

Tiada ulasan: