13 Mei, 2009

TERTIB SURAH DALAM AL QURAN

Oleh Hafizah Mansurah

Para Ulama berbeza 3 pendapat tentang tertib surah-surah dalam al-Quran :

Pendapat pertama :

Dikatakan bahawa tertib surah itu 'tauqifi' daripada Nabi saw sebagaimana diberitahukan Jibril kepadanya atas perintah Allah swt. Maka yang demikian, al-Quran pada zaman Nabi saw telah tersusun surah-surahnya secara tertib sebagaimana tertib ayat-ayatnya seperti yang ada di tangan kita sekarang iaitu tertib mushaf Usman yang tiada seorang sahabat pun menentangnya. Ini menunjukkan telah terjadi kesepakatan (ijma’) atas tertib surah tanpa suatu perselisihan apa pun. Yang mendukung pendapat ini ialah bahawa Rasulullah saw telah membaca beberapa surah secara tertib di dalam solatnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Syaibah yang bermaksud: Nabi pernah membaca beberapa surah mufassal (surah pendek) dalam satu rakaat.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibn Mas’ud, bahawa ia mengatakan tentang surah Bani Isra’il, al-Kahfi, Maryam, Taha dan Al-Anbiya’: “Surah-surah itu termasuk yang diturunkan di Mekah dan yang pertama-tama aku pelajari. Kemudian ia menyebutkan surah-surah itu secara berurutan sebagaimana surah-surah itu secara berurutan sebagaimana tertib susunan seperti sekarang.

Telah diriwayatkan melalui Ibn Wahb, dari Sulaiman bin Bilal ia berkata: “Aku mendengar Rabi’ah ditanya orang, ‘mengapa surah al-Baqarah dan Ali-Imran didahulukan, padahal sebelum kedua surah itu telah diturunkan lapan puluh surah Makki, sedang keduanya diturunkan di Madinah? Ia menjawab : “Kedua surah itu memang didahulukan dan al-Quran dikumpulkan menurut pengetahuan dari orang yang mengumpulkannya”. Kemudian katanya: ‘Ini adalah sesuatu yang mesti terjadi dan tidak perlu ditanyakan”.( diriwayatkan Ibn Asytah dalam kitab al-Masahif)

Ibnul Hisar mengatakan : “Tertib surah dan letaknya ayat-ayat pada tempatnya itu berdasarkan wahyu. Rasulullah mengatakan: ‘Letakkanlah ayat ini di tempat ini’. Hal tersebut telah diperkuat pula oleh nukilan atau riwayat yang mutawatir dengan tertib seperti ini dari bacaan Rasulullah dan ijma’ para sahabat untuk meletakkan atau menyusunnya seperti ini di dalam mushaf ”. ( al-itqan, jilid 1)

Pendapat kedua :

Dikatakan bahawa tertib surah itu berdasarkan ijtihad para sahabat berpandukan ingatan dan adanya perbezaan tertib yang terdapat di dalam mushaf-mushaf mereka. Misalnya mushaf Ali disusun mengikut tertib nuzul iaitu dimulai dengan Iqra’ kemudian Muddassir lalu surah nun, Qalam kemudian Muzzammil dan seterusnya hingga akhir surah Makki dan Madani.
Dalam mushaf Ibn Mas’ud yang pertama ditulis adalah surah al-Baqarah kemudian an-Nisa dan kemudian Ali-Imran. Manakala dalam mushaf Ubai bin Kaab yang pertama ditulis ialah Al-Fatihah, al-Baqarah, an-Nisa kemudian Ali-Imran.

Pendapat ketiga :

Dikatakan bahawa sebahagian surah itu tertibnya tauqifi dan sebahagian lainnya berdasarkan ijtihad para sahabat, hal ini kerana terdapat dalil yang menunjukkan tertib sebahagian surah pada zaman Nabi saw.Ibnu Hajar mengatakan: “Tertib sebahagian surah-surah atau sebahagian besarnya itu tidak dapat ditolak sebagai bersifat tauqifi. Pendapat beliau berdasarkan hadith yang dikemukakan oleh Huzaifah al-Thaqafi yang bermaksud : ‘ Rasulullah berkata kepada kami: ‘Telah datang kepadaku waktu untuk membaca bahagian (hizb) drpd al-Quran, maka aku tidak mahu keluar sebelum selesai membacanya’. Lalu kami tanyakan kepada sahabat Rasulullah saw: Bagaimanakah kamu semua membuat pembahagian al-Quran?Mereka menjawab: Kami membahagikannya kepada tiga surah, lima surah, tujuh surah, sembilan surah, sebelas surah, tiga belas surah dan bahagian al-Mufassal dari Qaf hingga tamat”.

Berpandukan dalil tersebut, Ibn Hajar berpendapat: Ia menunjukkan tertib surah seperti yang terdapat dalam mashaf sekarang adalah tertib surah semenjak zaman Nabi saw. Namun begitu berdasarkan dalil tersebut, kemungkinan tertib surah pada masa itu hanya bhgn mufassal shj.

KESIMPULAN

(Pendapat pertama) adalah pendapat yang paling rajih dan lebih tepat. Hal ini telah disokong dan dinyatakan oleh Abu Bakar Ibn Al-Anbari : Allah swt telah menurunkan al-Quran seluruhnya ke langit dunia. Kemudian Ia menurunkan secara beransur-ansur. Sesebuah surah itu turunnya kerana sesuatu peristiwa yang berlaku dan ayat turun sebagai jawapan orang yang bertanya. Dalam hal itu pula Jibril sentiasa memberitahu Nabi saw di manakah sesebuah surah dan ayat itu haru diletakkan. Justeru itu, semua susunan surah dan ayat adalah menurut penetapan Nabi saw.

(Pendapat kedua) menyatakan tertib surah berdasarkan ijtihad para sahabat. Ianya tidak bersandar dan berdasar pada suatu dalil kerana ijtihad sebahagian sahabat mengenai tertib mushaf mereka yang khusus merupakan ikhtiar mereka sblm al-Quran dikumpulkan secara tertib. Ketika pengumpulan al-Quran pada zmn Usman, tertib ayat dan surah telah disepakati oleh semua maka mushaf yang ada pada mereka telah ditinggalkan. Sekiranya tertib surah itu berdasarkan ijtihad mereka, tentu mereka tetap berpegang pada mushaf masing-masing.

(Pendapat ketiga) menyatakan sebahagian surah tertibnya secara tauqifi dan sebahagiannya bersifat ijtihadi. Dalil-dalil hanya berpandukan nas-nas yang menunjukkan tauqifi manakala ijtihadi tidak bersandar pada dalil yang menunjukkan tertib ijtihadi.

rujukan : mabahith fi ulum al-quran karangan Manna'Khalil al-Qattan

Tiada ulasan: