Isu penempatan sememangnya isu sensitif yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan di UPSI sekiranya ia berpanjangan. Biar apa isu yang timbul tetapi isu penempatan atau lebih kerap digunakan warga UPSI dengan perkataan ‘posting’ jangan sekali-kali disentuh.
Baru-baru ini heboh SATU MALAYSIA dengan khabar mengatakan 'posting' bakal dibeku. Kemudian diperbetul pula dengan kenyataan mungkin dilewatkan. Semuanya gara-gara laporan blog UPSIkini yang mengambil ucapan TNC Akademik & Antarabangsa UPSI semasa satu program di UPSI. Sampai sekarang pun masih ada bunyi-bunyi tentang isu ini.
Apapun yang mahu diperdebatkan tentang isu ini, satu perkara yang perlu disedari, “Penempatan bukan hak istimewa pelajar UPSI”. Itu seharusnya diakui pelajar UPSI. Tidak ada satu dokumen yang mengatakan pelajar UPSI mempunyai hak untuk mendapat penempatan, cuma mungkin pihak yang berkaitan berasa terhutang budi dengan sejarah UPSI dalam menjadi pusat melahirkan guru-guru sejak zaman sebelum kemerdekaan.
Hakikat ini semakin mula dizahirkan sedikit demi sedikit. Keadaan mula berubah setelah kementerian yang dulunya SATU menjadi DUA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). UPSI diletakkan di bawah KPT dan membesarkan anak yang mahu berbapakan KPM. KPM juga punya anak sendiri, IPGM, dan ada anak susuan – DPLI dan KPLI. UPSI di mana agaknya?
Memang UPSI ada mencetak Ijazah yang bertatahkan pendidikan namun bagi KPM Anak Kandung Suluh Budiman ini anak orang lain biarpun bin atau bintinya pendidikan. Tak ada dalam mana-mana wasiat mengatakan anak dari UPSI ini akan dilamar KPM untuk jadi menantu. Semuanya bermula bila KPM dan KPT bercerai. Dan hak istimewa posting tak terpakai oleh Anak Kandung Suluh Budiman!!
Mungkin keadaan ini akan kembali pulih apabila KPT merujuk semula dengan KPM untuk menjadi SATU keluarga semula. Mungkin boleh dipanjangkan kepada Tok Kadi yang SATU itu.
sumber : UPSIKINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan