06 Februari, 2009

AL-RISALAH AN-NIDAA' SIRI 1

Penyucian Jiwa
Diterbitkan Oleh Biro Akademik dan Dakwah
Persatuan Pendidikan Islam DPLI Universiti Malaya 2009


Jiwa, sekiranya dipelihara seperti anggota badan, ia akan dapat dilihat menerusi tingkahlaku mulia seseorang. Manusia mempunyai dua badan iaitu jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur ini saling melengkapi dan mempengaruhi antara satu sama lain. Demi mendapat kebahagiaan hakiki, rohani dan jasmani perlu diletakkan di landasan yang diredai Allah . Rohani atau disebut juga batin, jiwa atau kalbu, sangat berkait rapat dengan tindak-tanduk manusia. Jika rohani tidak sihat atau sakit, sudah tentu tindak-tanduk manusia akan menyeleweng daripada landasan syariat.
Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap manusia menjaga dan memelihara jiwa supaya tidak dilanda pelbagai penyakit.Dr Hamzah Ya’qub dalam buku “Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin” mengutarakan pengenalan mengenai penyakit rohani iaitu:- Sifat buruk yang merosakkan batin manusia serta mengganggu kebahagiaan.- pemikiran yang buruk akan menghalang reda Allah .- Sifat dan sikap dalam hati yang tidak diredhai Allah , sifat dan sikap mental yang cenderung mendorong melakukan perbuatan buruk dan merosak.Gambaran di atas menunjukkan mereka yang mengalami penyakit rohani akan dipengaruhi gejala yang tidak sihat dan menyalahi peraturan yang digariskan Islam seperti dengki, pemarah, riak, takbur, terlalu cinta hal keduniaan dan suka berprasangka buruk.Penyakit rohani yang dikira paling bahaya ialah munafik iaitu menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya seperti firman Allah

Maksudnya :“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, padahal mereka sebenarnya bukan orang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang beriman, dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tiada sedar. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.”
(Surah al-Baqarah, ayat 9-10)
Sukar mengenal orang munafik kerana mereka sangat bijak dan licik dalam menyembunyikan sifat itu. Namun, Rasulullah SAW pernah memberi tanda orang munafik melalui sabda Baginda bermaksud:

“Sesiapa yang ada padanya empat sifat ini, dia benar-benar munafik, sesiapa yang ada satu daripadanya bererti dia ada satu sifat munafik. Sehingga dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia dusta, apabila diberi amanah dia khianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila bertengkar dia melampaui batas.” (Hadis riwayat Bukhari)Kebanyakan manusia apabila jasmaninya terkena penyakit ia bergegas berjumpa doktor atau mencari ubat supaya penyakitnya cepat sembuh. Namun, jika rohaninya yang sakit, mereka tidak begitu.
Seharusnya perasaan takut turut dirasai apabila rohani dijangkiti penyakit. Kita perlu segera berusaha menyembuhkannya sebelum penyakit itu merebak lebih teruk. Demikian orang beriman akan bertindak segera apabila rohaninya dijangkiti penyakit. Usaha penyembuhan paling baik ialah:

I.Bermuhasabah diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Orang yang cerdik ialah yang memeriksa dirinya, bersedia untuk beramal sebagai bekal untuk mati dan orang yang lemah ialah yang selalu menurutkan keinginannya dan mengharapkan pelbagai angan kepada Allah .” (Hadis riwayat Tirmizi)Apabila selalu mengikut telunjuk nafsu, keinginan hati dan melupakan segala suruhan Allah , tentu seseorang mengalami kerugian besar sama ada di dunia atau akhirat seperti firman Allah yang maksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan supaya mentaati kebenaran dan saling nasihat-menasihati supaya menjalankan kesabaran.”
(Surah al-Asr, ayat 1-3)

II.Penyakit rohani juga boleh diubati melalui taubat dan beristighfar. Bertaubat bermakna sedar dan serta-merta berhenti daripada memiliki sifat mazmumah itu, membencinya dengan sepenuh hati dan tidak mungkin akan mengulanginya.Firman Allah SWT

bermaksud:“Dan orang yang apabila telah berbuat kejahatan atau menganiaya diri mereka sendiri, maka mereka ingat kepada Allah dan mereka memohon ampun atas dosanya.” (Surah Al-Imran, ayat 135)

III. Selalu berdoa memohon perlindungan Allah apabila diganggu syaitan, boleh
mengelak daripada terkena cengkaman penyakit rohani. Sebagai suruhan Allah SWT dalam firman
Maksudnya : “Dan jika engkau diganggu oleh satu gangguan dari syaitan, maka mohon perlindungan kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Tahu.” (Surah al-Fussilat, ayat 36)

IV.Sebagai mukmin yang selalu ingat kepada-Nya, hendaklah kita menjauhi kemungkaran hati yang bukan saja menyebabkan jiwa dibalut kegelisahan, malah boleh mencetuskan pergaduhan dan memecah belah masyarakat harmoni.Allah berfirman

Maksudnya :
“Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat mungkar dan melarang berbuat makruf dan mereka menggenggam tangannya. Mereka lupa kepada Allah , maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itulah orang yang fasik.” (Surah at-Taubah, ayat 67)
Oleh itu, dalam mencari kebahagiaan sebenar dan keredaan Allah , seorang Muslim perlu sentiasa menyuburkan jiwanya dengan sifat mahmudah yang dimiliki junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta sahabat.Apabila rohani bersih murni, terpancar pada dirinya sahsiah dan akhlak terpuji yang disukai Allah malah, sepanjang hidupnya dipenuhi dengan melakukan amalan soleh dan sentiasa menjaga tingkah laku supaya mendapat keredaan Allah selain disenangi masyarakat sekeliling.

Tiada ulasan: