20 Februari, 2009

RISALAH AN-NIDA' 3 : KITA AGEN KEMAJUAN

Oleh UMMU AFIFI
Diterbitkan Oleh Biro Akademik
dan Dakwah
Persatuan DPLI Universiti Malaya 2009

Kita adalah aset penting yang sangat bernilai kepada sesebuah negara. Kita juga berperanan penting untuk memimpin dan membawa hala tuju perubahan negara. Jatuh bangun sesebuah negara terletak di tangan golongan muda-mudi pada hari ini.

Adalah menjadi satu seruan jihad kepada pemuda-pemudi agar merebut dan mempergunakan peluang baik yang ada untuk merubah dan membentuk peribadi mereka dari segi rohani dan jasmani, akhlak, akal dan jiwa sebagaimana sabda baginda saw dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Semasa hidup sebelum kamu mati,semasa sihat sebelum kamu sakit, semasa lapang sebelum kamu sibuk, semasa muda sebelum datangnya masa tua, semasa kaya sebelum datangnya masa kamu fakir”.

Sabda baginda yang lain bermaksud:“Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari qiamat sebelum di tanya tentang empat perkara: tentang umurnya pada perkara apa yang telah dia habiskan, tentang usia mudanya kemanakah dia telah pergunakannya, tentang hartanya dari mana ia memperolehinya dan kemanakah ia membelanjakannya, dan mengenai ilmu apakah dia sudah mengamalkannya”.

Cubalah kita hayati kisah Sayyidah Nafisah r.a bersama Ahmad bin Thouwlun.Beliau adalah Nafisah binti Al-Hasan bin Zaid bin Hasan bin Ali bin Abi Talib, bernikah dengan Ishak bin Ja’far As-Shadiq r.a, datang ke Mesir bersama suaminya dan menetap di sana, beliau adalah orang yang kaya, baik kepada orang yang tua dan sakit, ahli ibadah, zuhud dan banyak amal solehnya. Ketika Imam Syafei datang ke Mesir, beliau menyambutnya dengan baik.

Pada saat sayyidah Nafisah tinggal di Mesir, banyak orang datang kepadanya mengadukan kekejaman Ahmad bin Thoulun, Maka ia mengambil kertas dan menulis kemudian berdiri di jalan. Ia berkata,“Wahai Ahmad bin Thoulun” maka, Ahmad bin Thoulun melihat dan mengenalnya, ia segera turun dari kudanya dan merampas kertas yang berada di gengamannya lalu membaca isinya. “Engkau menjadi raja tapi engaku menawan mereka, berkuasa tapi memaksa, bersaudara tapi menindas, kau telah diberi rezeki tapi kau memutuskannya.Dengan ini,engkau lebih mengetahui bahawa anak panah akan menembus, lebih-lebih lagi bagi orang yang engkau sakiti hatinya, perut yang engkau buat lapar, dan badan yang engkau telanjangi.


Mustahil, orang yang dizalimi mati sedangkan yang zalim masih tetap hidup, berbuatlah sesuka hatimu, tetapi kami akan tetap bersabar, buatlah kejam, maka kami akan mendapat pahala, dan berbuat zalimlah maka hanya kepada Allah SWT kami mengadu. Firman Allah “Dan orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka kembali”. (Asy-Syu’ara’ : 227). Semenjak itu Ahmad bin Thoulun mematuhi nasihat dan berbuat adil.

Di sini, kita lihat keberanian seorang wanita untuk mengatakan benar, mengingatkan dengan perkara yang benar serta penyampaiannya dengan kalimat yang mengerunkan dan mengambil simpati bagi orang yang mempunyai hati, mengentarkan jiwa, di hadapan siapa? Di hadapan para penguasa di negeri Mesir.

Inilah suatu muhasabah dan peringatan kepada kita, tanggungjawab yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT di mana seorang pun tidak dapat melarikan diri daripadanya. Marilah kita gunakan semua nikmat ini dengan sebaik mungkin dengan mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mencari bekalan secukupnya untuk dibawa ke akhirat kelak.

Setelah kita mengislah diri kita, maka menjadi satu kewajipan untuk kita mengajak orang lain kembali kepada ajaran Islam dan memahami dengan sebenarnya serta menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup serta tidak terpengaruh dengan tohmahan dan propaganda yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Islam serta menjadikan Rasulullah sebagai Qudwah hasanah dalam melayari bahtera kehidupan di muka bumi ini sebelum tiba ajal kematian.

Realiti yang berlaku di mana umat Islam hari ini hanyut dan leka dengan arus keseronakan dan kemajuan hidup di dunia sementara, ini harus diubah dengan menitikberatkan soal nasib yang bakal di tempuhi dalam kehidupan di akhirat yang kekal abadi.Pada masa yang sama tidak melupakan nasib dalam kehidupan dunia kerana Islam tidak menolak pembangunan dan kemajuan. Namun biarlah ia berlandaskan syariat Islam untuk kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggakan mereka mengubah nasib dan keadaan mereka sendiri”.

Menangislah diri dan mengajak orang lain kepada Allah adalah dua wasilah kepada seorang muslim untuk mencapai keredhaan Allah SWT dalam hidupnya.Ingatlah satu pesanan Rasulullah saw kepada sahabatnya:

“Jika Allah memberikan hidayah kepada seseorang melalui usaha yang dilakukan oleh kamu adalah lebih baik bagimu daripada apa yang disinari oleh matahari dan lebih dari unta merah(unta yang paling diminati oleh orang Arab.)

Tiada ulasan: