17 Mac, 2009

KISWAH `09

Disediakan oleh Nurfadhilah
Setiausaha KISWAH '09

Pulau Pangkor: Pelajar di dalam Kursus (PMFD 5102) Pendidikan Jasmani Dan Kegiatan Kokurikulum, di bawah Penyelarasan Pn. Zainun Ishak, Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) 2009, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya telah mengadakan program Kem Inspirasi Tautan Ukhuwah (KISWAH ‘09) pada 13-15 Mac 2009 bersamaan hari Jumaat hingga hari Ahad bertempat di Ceria Bogak Beach Camp, Pulau Pangkor, Perak. Seramai 48 orang peserta yang terlibat dan dua orang pensyarah pengiring iaitu Puan Zainun dan Puan Siti Arbi.
Pada awal perjalanan dari UM ke Lumut iaitu di Rawang, satu insiden yang menggemparkan apabila Ukht Fadillah tertinggal di stesen R&R Rawang tanpa disedari oleh sahabatnya. Ia disedari setelah lebih kurang lima minit perjalanan. Insiden tersebut menyebabkan Ukht Aishah Sameon terpaksa menahan sebuah kereta untuk berpatah balik semula ke R&R tersebut. Pelbagai gaya dan ekspresi muka dapat disaksikan. Sangat menyayat hati. Inilah dinamakan ukhuwah yang tidak berbelah bagi.


Perjalanan program selama 3 hari sangat menggembirakan dan membuatkan para peserta berasa teruja dengan aktiviti yang padat dan bersemangat. Jungle Tracking, Bicycle Tour, kayak, mandi manda di pantai, aerobik, pementasan malam kesenian Islam, menaiki bot mengelilingi pulau, melawat kilang pemprosesan sate ikan dan pelbagai lagi program menarik yang telah dijalankan. Sangat mencuit perasaan dan teruja untuk mengadakan lagi program seperti ini di masa akan datang.



Antara aktiviti yang melekat di hati sanubari peserta ialah Jungle Tracking dan Bicycle Tour. Usai aktiviti Jungle Tracking, pelbagai bentuk jeritan kedengaran. Jeritan nyaring, halus dan kasar menerobos ke cuping telinga setiap peserta lantaran melihat pacat melingkar kekenyangan di bahagian tertentu pada anggota badan. Alangkah gelinya! Pelbagai perasaan bercampur baur. Takut, fobia dan sedih. Bagi peserta yang tidak ‘menderma darah’ kepada pacat merasa lega kerana tidak menjadi insan terpilih bagi pacat-pacat di Pulau Pangkor.

Manakala bagi aktiviti Bicycle Tour, pelbagai ragam peserta dapat disaksikan. Setelah hampir sepuluh tahun tidak menunggang basikal malahan sudah lama tidak menyentuh basikal, pelbagai aksi dipertunjukkan. Paling menarik apabila menaiki bukit yang tinggi tambahan pula cuaca panas yang terik menyebabkan sebahagian peserta menyerah kalah dengan memilih menuntun sahaja basikal langkah yang terbaik untuk menaiki bukit yang tinggi dan separuh tinggi. Namun, berbekalkan keazaman dan kecekalan yang tinggi akhirnya semua peserta KISWAH `09 berjaya menamatkan perjalanan berbasikal tersebut. Hebat sungguh akhawat DPLI!


Hasil menemu ramah sebahagian peserta, kebanyakan mereka merasa puas hati dengan program ini dan berharap agar ia dapat dilaksanakan pada masa akan datang walaupun kepenatan dek kerana perjalanan pulang bas yang dinaiki melalui jalan dalam dan menyebabkan perjalanan memakan masa lebih kurang enam jam.

Bagi jentera penggerak KISWAH `09, masalah besar tidak timbul sepanjang mengendalikan program ini. Segalanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Hanya sedikit masalah kecil timbul apabila hujan lebat melanda sehingga menyebabkan khemah para peserta dimasuki air. Namun masalah tersebut dapat diatasi.


Di kesempatan ini jentera penggerak KISWAH `09 memohon jutaan kemaafan jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan kami dalam mengendalikan program ini.

ajk KISWAH '09


Peserta KISWAH '09

Tiada ulasan: