22 April, 2009

NOVEL ISLAMI : SALJU SAKINAH


Salju Sakinah
Zaid Akhtar
PTS Millennia Sdn Bhd
559 halaman

Sinopsis

NOVEL Islami ini menyorot ketabahan watak Sumayyah siswi tahun akhir Universiti Yarmouk, Jordan yang berada di semester terakhir pengajiannya.

Sumayyah, 25 tahun berhadapan pelbagai rona ujian yang mencabar kematangannya dan wibawanya sebagai pelajar jurusan Syariah di universiti Timur Tengah.

Novel ini mengambil dua latar tempat iaitu Jordan dan Malaysia. Juga dua latar waktu iaitu ketika Sumayah menghabiskan semester terakhirnya dan ketika dia berada di kampungnya, di Senggarang, Batu Pahat.

Walaupun watak Sumayyah menjadi sudut pandangan utama di dalam novel ini, tetapi persoalan global dunia Islam, ekonomi, politik, sosial dan ilmu turut disentuh di dalamnya. Lantaran, sewaktu di Jordan, Sumayyah amat intim dengan isu Palestin, Iraq dan dunia Islam sekitarnya disebabkan pergaulannya dengan pelajar-pelajar Arab yang tinggal berjiran dengannya. Sedaya mungkin Sumayyah cuba membantu teman-temannya yang menghadapi kesan dan tekanan perang.

Selain itu, novel ini juga tidak melupakan aspek sosial dengan mengenengahkan isu sumbang mahram, hasad dengki, fitnah -memfitnah serta kepercayaan khurafat dan ilmu sesat yang menjadi penyakit sebahagian masyarakat. Sumayyah berhadapan dengan fitnah daripada jirannya dan akhirnya berjaya membongkar kes sumbang mahram yang dialami jirannya itu. Bahkan, ia juga mengupas aspek ekonomi orang Islam dengan perusahaan kerepek yang diwarisi Sumayyah daripada ayahnya. Industri desa yang popular di Batu Pahat ini menjadi latar utama novel ini sepanjang watak Sumayyah berada di kampungnya.

Novel ini berlangsung selama kira-kira sembilan bulan. Bermula pada musim panas pertengahan Mei dan berakhir pada musim sejuk akhir Januari tahun berikutnya. Ia dimulakan dengan kejutan-kejutan di luar duga dalam diri Sumayyah di penghujung pengajiannya: Hubungannya dengan Afnan, siswa Universiti al-Azhar terputus, beberapa masalah persatuan pelajar, malah turut berkongsi derita dengan pelajar-pelajar Palestin.

Selebihnya, novel ini menawarkan nilai-nilai murni yang wajar diteladani pembaca. Justeru sebagai sebuah novel Islamik, sirah Rasulullah, kisah para Nabi dan sahabat turut dititipkan kepada pembaca sebagai peringatan; tanpa melupakan firman Tuhan dan hadis Nabi yang diselitkan juga sebagai panduan.

Tiada ulasan: