30 Mei, 2009

PUSAT ISLAM MUAZ BIN JABAL

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini menubuhkan Pusat Islam Mu'adh Bin Jabal sebagai pusat maklumat dan dakwah bagi mempromosi pemahaman tentang Islam secara menyeluruh.

Anak syarikat UIAM itu dahulunya merupakan jabatan di bawah pengendalian Sekolah Islam Antarabangsa Gombak (IIS) dan kini berkembang menjadi pusat kajian Islam untuk menggerakkan pelbagai program dakwah dan pendidikan Islam.

Pengarah Pusat Islam Mu'adh Bin Jabal, Dr. Yass Khudayer Jasim berkata, pusat itu ditubuhkan setelah mempunyai pengalaman beroperasi selama 10 tahun di bawah IIS.

Katanya, ia berperanan sebagai pusat dakwah bagi menyebarkan agama Islam di samping mengikis salah tanggap masyarakat bukan Islam terhadap agama suci ini.

"Kita akan melaksanakan beberapa program dakwah seperti projek membina masjid, bengkel bahasa Arab dan membaca al-Quran serta menerbitkan beberapa risalah dan buku rujukan tentang Islam.

"Selain itu, pusat ini juga menerbitkan sebuah laman web khas sebagai rujukan umum kepada masyarakat bukan Islam yang berminat mendalami agama ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pusat Islam Mu'adh Bin Jabal di sini kelmarin.

Turut hadir Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Badr Al Moqhim dan Pengurus Besar UIAM Lower Education Sdn. Bhd., Mohamed Syairoz Mohd. Odman.

Menurut Mohamed Syairoz, pusat itu akan berperanan penting sebagai institusi penjana pembangunan modal insan Islam profesional.

Katanya, latihan perguruan integrasi bersama Yayasan Wakaf Antarabangsa bagi meningkatkan kualiti sistem pengajaran dan pembelajaran pengajian Islam setanding pendidikan konvensional juga akan dianjurkan.

"Program itu akan dianjurkan pada 22 Jun ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan akan disertai oleh guru-guru Islam dari dalam dan luar negara," katanya.

Beliau menambah, sebagai pusat kajian Islam bertaraf antarabangsa, pusat ini juga berusaha mengembang jaringan kerjasama dengan beberapa negara Islam di Asia Barat.

Tiada ulasan: