09 Julai, 2009

PEMIMPIN MAHASISWA SOKONG MANSUH PPSMI

PERTUBUHAN berkaitan pendidikan dan pemimpin pelajar universiti awam tempatan menyatakan sokongan kepada langkah memansuhkan PPSMI dan kembali kepada penggunaan bahasa Malaysia.

Mereka menyifatkan keputusan itu akan memartabatkan bahasa Malaysia dan diletakkan pada tahap sepatutnya, manakala penguasaan bahasa Inggeris dimantapkan sebagai bekalan untuk rakyat lebih maju.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyarankan usaha lebih agresif dilaksanakan bagi memastikan perubahan dasar itu mencapai matlamat termasuk menyediakan bajet besar serta memastikan pihak berkaitan menjalankan peranan dengan penuh komitmen.

Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata Institut Terjemahan Negara antara agensi yang perlu memperkasa fungsinya terutama dalam penyediaan bahan rujukan mencukupi dan terkini bagi menyokong pelaksanaan strategi baru itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata walaupun sebelum ini kesatuan lantang menyokong PPSMI, pihaknya akur dengan ketetapan kerajaan.

"Kami akur tetapi meminta penguasaan bahasa Inggeris terus diberi tumpuan termasuk dengan membawa semula guru lama untuk kembali berkhidmat bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar dalam subjek berkenaan," katanya.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohamad Ridzuan Mohamad berkata, ia kerana dasar itu sangat terasa di luar bandar dengan kebanyakan pelajar tidak dapat menguasai dua mata pelajaran itu kerana diajar dalam bahasa Inggeris.

"Kita tidak nampak permasalahan ini pada peringkat pengajian tinggi kerana pelajar berjaya melangkah ke menara gading adalah mereka yang terpilih.

"Jika dikekalkan ia akan menyebabkan bilangan pelajar dari pedalaman yang tidak begitu baik dalam Matematik dan Sains berkurangan seterusnya peluang ke universiti menjadi semakin kecil," katanya.

YDP Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhammad Sofiyussalam Mohamad Johari, berkata selepas PPSMI dilaksanakan prestasi dua mata pelajaran itu kurang memberangsangkan terutama di luar bandar.

"Pencapaian mereka terjejas dan adalah lebih baik jika dimansuhkan. Namun, satu mekanisme untuk pengukuhan bahasa Inggeris perlu difikirkan termasuk memberi galakan kepada pelajar menyertai program berteraskan bahasa kedua itu di luar kelas.

"Pendekatan menarik seperti penggunaan teknologi terkini seperti internet dan video yang lebih bersifat interaktif perlu untuk menarik minat belajar bahasa Inggeris.

YDP MPP Universiti Putra Malaysia, Mohd Syamsul Salleh, berkata PPSMI baik untuk penguasaan dua mata pelajaran itu sebagai bahasa ilmu antarabangsa, namun pemansuhan dasar itu tidak mendatangkan banyak masalah kepada mereka yang akan masuk ke IPT jika negara ini mempunyai sistem pengajaran dan pembelajaran yang baik untuk membangunkan pembelajaran bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohamad Nasir Mohamed Nazri sedih dengan keputusan itu kerana percaya ramai pelajar sekolah setuju jika PPSMI diteruskan.

"Tanyalah bekas pelajar sekolah seperti saya yang cemburu apabila pelajar kini lebih terdedah dengan bahasa Inggeris. Pejuang bahasa kebangsaan perlu membuktikan dengan nyata (hasil mansuhkan PPSMI) selepas kerajaan memenuhi permintaan mereka," katanya.

Tiada ulasan: